nama, watak, ilustrasi hanyalah imaginasi saya sahaja...hanya untuk suka-suka!

Sunday, March 25, 2012

Bab 1 - Mimpi Jadi Nyata!


Nia melangkah pantas-pantas menuju ke pintu pejabat di tingkat 5 bangunan Wisma Chase Perdana. Dia kelewatan dan kesukaran mencari tempat letak kereta di ruang lobi bawah tanah membuatkan Nia kelam kabut. Nia berkumpul bersama-sama puluhan manusia yang lain di ruang lobi lif. Pintu lif di sebelah belakang Nia terbuka, namun dia gagal untuk menerobos masuk, lantaran Nia tertolak kebelakang. Pintu lif di sebelah kiri tiba-tiba terbuka, rezeki Nia untuk pagi itu agaknya. Nia pantas menyelitkan badan kurusnya di celah-celah manusia-manusia lain. Nia menekan butang lif menunjukkan aras lima. Lega sebentar rasanya. Sejuk udara penghawa dingin menghilangkan lelah dan renik peluh di dahi. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Nia membuka langkah lebar-lebar meluru ke tandas.

       “Apa-apa hal pun ‘touch-up’ mesti di dahulukan. “ Kata hati Nia sambil mengerling jam tangannya. Jam tangan warna putih itu menunjukkan 3 minit lagi sebelum pukul sembilan pagi. Suasana di dalam tandas agak padat dengan wanita-wanita yang sibuk dengan aktiviti peribadinya sendiri. Tangan Nia pantas membetul-betulkan lilitan tudung bercorak polka –dot merah tua dan hijau muda. Kemeja hijau muda berlengan ala-ala puteri itu dirapikan seadanya. Kasut Clarks warna hitam hadiah dari Mak Su dibelek sekilas, pastikan tiada sisa tisu tandas yang terlekat.
       Nia berdiri tegak di hadapan pintu kaca. Seorang penyambut tetamu yang lengkap dengan alat headset menekan butang kecil di bawah mejanya lalu pintu kaca berbunyi perlahan. Nia menguak pintu kaca sambil menahan debar dalam hati.
       “Assalamualaikum, saya staf baru. Err….. untuk Project Game .”
    “Jalan terus ke depan belok kiri, pintu nombor dua sebelah kanan ya.” Ujar penyambut tetamu tegas, pantas dalam senyumnya.

     Nia cuba tersenyum ramah sambil mengucapkan terima kasih. Isi perutnya terasa mahu terkeluar. Tangannya sejuk, jantungnya berdegup kencang. Lorong di antara kaunter penyambut tetamu dan pintu nombor dua sebelah kanan terasa seperti sangat jauh dan panjang. Dinding-dinding yang dihiasi dengan lukisan abstrak dirasakan seperti merenung tajam. Setibanya di hadapan pintu nombor dua, Nia menarik nafas dalam-dalam.

    “Rabbi Yasser Wa’la Tu Asser, Ya Allah! Permudahkanlah segala urusanku.” Doa Nia dalam hati. Matanya dipejam rapat sekejap. Lalu dikuatkan tangan kanannye untuk menolak pintu kayu yang berat. Sebaik pintu dikuak, 20 pasang mata tertumpu ke arah Nia. 10 pasang mata lelaki memerhatikannya nakal, ada yang tersenyum-senyum, ada yang menjeling lama, ada yang mengangkat-angkat kening. Nia terus ke bahagian depan bilik latihan. Kerusi di barisan depan di penuhi oleh 9 orang perempuan dan seorang lelaki. Dua orang darinya kelihatan seusia dengan Nia. Yang lain, semuanya lengkap dengan buku nota dan tali tag tergantung di leher lengkap berlogo syarikat.
         “Maaf. Saya lambat.”
          “Tak apa. We just started.  Sila duduk. “ Kata Puan Zuriah.

Nia meluru ke kerusi kosong di barisan ketiga. Pantas menghulurkan tangannya bersalaman dengan perempuan-perempuan di sebelah kanannya. Lalu terus menumpukan pandangan dan perhatiannya. Puan Zuriah bangun menuju ke hadapan. Tubuhnya yang tinggi lampai, sederhana besar dengan kulitnya yang cerah menyukarkan sesiapa untuk menduga berapa usia sebenarnya. Tudung merah berbunga yang di pakainya menceriakan lagi wajah Pengarah, Sumber Manusia Sri Rail Berhad, syarikat pembuat monorail utama di Malaysia. 

“Sri Rail Berhad atau lebih dikenali sebagai SRB yang ditubuhkan semenjak 20 tahun yang lalu itu telah banyak melibatkan diri dalam industri pembinaan monorail.  Selain dari terlibat dalam projek-projek pembinaan monorail di Malaysia , Syarikat yang dimiliki oleh anak tempatan itu juga aktif melibatkan diri dalam proses-proses pembidaan bagi mendapatkan kontrak antarabangsa.  Hasilnya, kita bakal melihat monorail yang dibina oleh jurutera dan juruteknik tempatan megah berdiri di bumi India dan Brazil.”
Ucapan aluan Puan Zuriah membuatkan Nia rasa sungguh bersemangat.  Nia menumpukan sepenuh perhatian kepada slide gambar yang ditunjukkan di layar putih.
          
  “ Kamu semua sangat bertuah kerana terpilih untuk menjadi perantis bidang teknikal untuk SRB.  Untuk makluman semua, kami telah menjalankan pemilihan dengan menyertai sessi Hari Kerjaya yang di adakan di Institusi Pengajian Tiggi Tempatan dan juga di United Kingdom.”  Puan Zuriah berhenti sekejap.  Matanya mengimbas wajah-wajah jurutera yang terpilih.
           
“Untuk makluman kamu, kami telah menemuduga lebih kurang 1000 pelajar-pelajar tahun akhir bidang kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan microelektronik.  Bukan senang untuk kami membuat keputusan.  Berikan tepukan kepada diri kamu sendiri kerana dengan Izin Allah kamu semua telah berjaya dipilih!”
           
Serentak dengan itu bunyi tepukan yang gemuruh kedenganran.  Pelajar-pelajar lelaki mula membunyikan siulan dan mereka saling bersalaman dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain. 
            
Nia menarik nafas lega.  Dalam hati, Nia memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Esa.  Di kala rakan-rakan lain masih dengan keluh kesah memikirkan nasib mereka, Nia sudah selesa duduk di kerusi empuk dan bergelar Perantis Jurutera.  Bukan senang untuk mendapatkan pekerjaan, sedangkan siswazah yang tamat pengajian pada tahun lepas pun belum berjaya mendapatkan pekerjaan, apatah lagi dengan yang baru menamatkan pengajian tahun ini. 
           
“GAME bermaksud Generating Amazing Engineers.  Nama ini telah dicadangkan oleh Puan Suhaida, yang merupakan Ketua Pengarah Bahagian Sumber Manusia merangkap Ketua Kakitangan SRB.  Tujuan diadakan Projek Game ialah untuk melatih jurutera-jurutera tempatan untuk memegang jawatan-jawatan Ketua Jurutera di SRB.  Untuk makluman semua, buat masa kini Ketua-Kerua Jurutera di dalam pelbagai bahagian di SRB adalah pakar-pakar dalam industri pembinaan monorail dan mereka semuanya berasal dari luar Negara, seperti UK, Austria, Australia, Taiwan dan India.  Ini disebabkan, kita masih belum mempunyai jurutera-jurutera tempatan yang pakar dalam industri ini.  Oleh sebab itulah, pihak pengurusan di SRB mewujudkan projek perantis yang dinamakan Projek Game ini.”

Ruang bilik latihan yang mampu memuatkan 100 orang itu senyap seketika.  Puan Zuriah meneguk air kosong yang disediakan untuknya.

“Seperti yang telah kami jelaskan kepada kamu ketika sessi temuduga, Projek GAME ini akan berlangsung selama setahun.  Sila rujuk nota panduan yang telah diberikan kepada kamu.   Kamu akan di bahagikan kepada empat kumpulan.  Kumpulan G, kumpulan A, kumpulan M dan kumpulan E.  Setiap kumpulan akan menjalani pusingan latihan yang sama.  Kamu akan di hantar ke beberapa bahagian seperti Bahagian Kejuruteraan Sistem, Bahagian Pengurusan Projek, Bahagian Pengujian dan Pentauliaahan dan Bahagian System Assurance”.  Puan Zuriah meneruskan ucapan pengenalannya.

Nia membelek helaian nota yang diberikan.   Nama Nia disenaraikan di dalam kumpulan G bersama Aimi Syairah, Hirzi Amirruddin, Johan Arif Rafiq dan Abdul Mushawwir.

“Harap-harap mereka semua dalam kumpulan G ‘ni sekepala denganku.”  Getus Nia dalam hati.



Sebaik sahaja ucapan Puan Zuriah tamat, peserta-peserta Projek Game berdiri untuk memperkenalkan diri.  Sebahagian dari peserta-peserta lelaki kelihatan sudah mengenali antara satu sama lain.  Terutamanya mereka yang belajar di United Kingdom.
“Nama saya Aimi Syairah Adnan, saya berasal dari Kepong dan lulusan Kejuruteraan Komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa.”  Aimi, gadis yang duduk di barisan hadapan bangun memperkenalkan dirinya.  Petah dia berbicara, penuh yakin.
“Nama saya Aida Narina, saya berasal dari Melaka, saya lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti of Southampton, United Kingdom.”  Aida yang berkulit cerah dan bermata bundar memperkenalkan dirinya.
“Saya Nia Humairah Karim, berasal dari Kota Kinabalu, lulusan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Sabah.” Nia bangun memperkenalkan diri.
“Apa khabar, bah…?”  Usik Hilal Rosli bekas pelajar lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Southampton.  Dia yang berbadan tegap tinggi, berambut lurus kelihatannya agak nakal dan suka mengusik.
Nia tersenyum.  “Baik bah…” balas Nia sambil mengangguk.
“Seterusnya?”  Puan Zuriah tersenyum melihat keletah kami.
“Nama saya Mohamad Hirzi Amiruddin, berasal dari Muar, Johor dan mamat handsome lagi macho di sebelah saya ‘ni ialah kawan karib saya Johan Arif Rafiq, budak USJ. Kami berdua meminati sukan lasak.  Kami juga lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Of Bath, United Kingdom dan masih belum mempunyai girlfriend.  Sesiapa yang nak berkenalan boleh hubungi kami melalui Facebook dan Twitter…”
“Eh..eh…ni sessi memperkenalkkan diri atau sessi nak menjual diri?  Nakal betul kamu ni ‘ya.?”  Puan Zuriah tergelak.
“Next…?” 
“Kalau mamat di sana macho, mamat di sini pun apa kurangnya.  Nama saya Abdul Mushawwir Khalil.  Nama panggilan manja ialah Awe.  Lulusan Kejuruteraan Mekatronik dari Universiti Islam Antarabangsa, hobi saya bermain gitar.  Ada sesiapa yang suka bermain gitar?  Kita boleh jamming bersama?”
Hilal dan Shahriman mengangkat tangan.  “Saya boleh main bass guitar, dan Hilal adalah sangat macho bila bermain drum.”  Kata Shahriman, juga pelajar dari Univeriti of Southampton lulusan Kejuruteraan Elektronik.
“Kamu berdua yang tersenyum-senyum dari tadi ‘tu.  Sila perkenalkan diri.?” Puan Zuriah memandang dua orang lelaki yang sedang duduk barisan akhir.
“Kami berdua ‘ni, bukannya apa puan, jet lag tak habis lagi.”  Ujar Mohamad Syahmi lulusan Kejuruteraan mekanikal Universiti Southampton.
“Kamu baru sampai dari UK?”  Soal Puan Zuriah,dahinya berkerut.
“Ya puan, baru sampai pukul 5.00 pagi tadi, beg pun masih ada dalam kereta.  Sempat pula saya terjumpa kawan baru ‘ni di KLIA, rupa-rupanya dia pun sama arah tujuan dengan saya.”
Puan Zuriah berjalan mendekati barisan kerusi-kerusi yang bewarna hitam.  “Kamu baru sampai? Dari mana?” 
“Assalamualaikum dan Guten Morgen Puan, nama saya Hilmi Mohd Noor.  Sebenarnya saya pun baru sampai.   Jauh saya datang, dari German.  Saya lulusan kejuruteraan Mekanikal dari HTW Aalen.”
“Bro, kau asal dari mana?”  Soal Hilal
“Kuala Terengganu, Bro..” Jawab Hilmi.
“Orang Kuala Terengganu cakap German..Perghh! hebat..hebat..”  Seisi bilik ketawa mendengar kata-kata Hilal.

Puan Zuriah dan fasilitator-fasilitator yang lain juga ketawa.  Cepat benar kami menjadi akrab.  Di antara 13 peserta Projek GAME hanya 3 orang sahaja peserta wanita.  Namun segalanya tidak menjadi masalah.  Biarpun mereka datangnya dari latar belakang yang berbeza namun mereka cepat menjadi rapat.  Nia sedar, perjalanan hidup barunya sebagai warga kerja akan bermula.  Walaupun masih ada rasa ragu dan takut dalam diri, tapi bila melihat wajah-wajah peserta-peserta lain, Nia bagaikan mendapat kekuatan.  Nia yakin dia akan mendapat rakan sepasukan yang baik dan Nia berjanji akan menjadi rakan sepasukan yang baik.  Itu lah Azam Nia!

No comments:

Post a Comment